PUTRAJAYA: Sebanyak 24,023 kes jenayah perdagangan direkodkan sepanjang tahun lalu, meningkat 168 peratus berbanding hanya 8,952 kes pada 2005 walaupun pelbagai usaha dijalankan bagi menangani kes seumpamanya, termasuk menubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (JSJK),
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, percaya ia berpunca akibat kurangnya kesedaran masyarakat berhubung kes jenayah perdagangan walaupun pelbagai laporan mengenainya dibuat media dan langkah menanganinya dilaksanakan kerajaan.Justeru, beliau mahu program kesedaran di kalangan masyarakat dipertingkatkan sejajar hasrat kerajaan mewujudkan sistem lebih berintegriti di sektor awam dan swasta bagi memastikan kestabilan ekonomi negara.“Peningkatan kes jenayah perdagangan berpunca daripada kelemahan manusia dan kurangnya nilai moral dalam masyarakat. Jadi, kita memerlukan satu sistem yang mampu menangani masalah ini dengan kerjasama semua pihak termasuk institusi kewangan.
“Jadi, saya harap persidangan ini mampu memberi maklum balas sewajarnya bagi membantu polis menangani kes jenayah perdagangan yang semakin membimbangkan, bukan saja di negara ini tetapi juga di seluruh dunia,” katanya selepas merasmikan Persidangan Jenayah Kewangan Antarabangsa (ICFC) 2011 di sini, semalam.
Persidangan dua hari anjuran bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Persatuan Pakar Bertauliah Anti Pengubahan Wang Haram (ACAMS) itu turut dihadiri Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar.
Sementara itu, Ismail mengesahkan pihaknya sudah menahan seorang anggota Jemaah Islamiah (JI) mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, pada Ahad lalu di sebuah rumah di Klang, Selangor kerana dipercayai terbabit kegiatan boleh menjejaskan keselamatan negara. “Saya mengesahkan penahanan anggota JI ini untuk siasatan kerana percaya perbuatannya boleh membahayakan keselamatan negara dan polis akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Akhbar semalam melaporkan Abdul Haris Syhuhadi, 63, ditahan di rumahnya di Kampung Batu Belah, Klang, Selangor pada jam 8 malam, Ahad lalu.
Difahamkan, penahanan Abdul Haris, seorang peniaga pakaian dibuat mengikut Seksyen 73(1), Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.
0 comments:
Post a Comment